Monday, August 29, 2011

APA ITU HABBATUS SAUDA'?


PENGENALAN

Sejak zaman – berzaman lagi , pelbagai rempah ratus dan tumbuhan yang telah dijadikan sebagai bahan dan ramuan di dalam ubatan tradisional. Di antara rempah ratus dan tumbuhan tersebut ialah kumpulan herba. Ramuan herba ini memang diakui amat berkesan untuk meningkatkan taraf kesihatan manusia. Di antara herba yang dikenali dan diketahui mempunyai mutu khasiat yang tinggi kepada manusia ialah jintan hitam. Ia merupakan salah satu daripada herba yang mempunyai keistimewaan dan nilai khasiatnya yang tersendiri kepada sesiapa yang mengamalkannya secara konsisten.


Jintan Hitam ( Nigella sativa L )

Jintan hitam atau bijiran hitam merupakan sejenis bijian daripada pokok renek herba yang dikenali dengan nama saintifiknya Nigella sativa L.


Tanaman ini banyak terdapat di negeri – negeri yang bersempadan dengan Laut Mediterranean , Eropah Tengah dan Asia Barat. Di rantau Asia , bijian ini dikenali dengan nama bijian hitam. Di India , Nigella sativa dikenali sebagai Kaladuru manakala di Malaysia ia dikenali sebagai jintan hitam.


Sejarah Penggunaan Jintan Hitam

Sejak lebih 2000 tahun lalu bijian ini telah dikenali dan digunakan di Timur Tengah dan Timur Jauh sebagai ubatan asli dan dijadikan bahan tambahan dalam masakan. Bijian ini dipercayai mempunyai khasiat semulajadi yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

Menurut periwayat hadith terkenal Abu Hurairah (r.a), Nabi s.a.w pernah bersabda agar bijian ini digunakan sebagai penawar pelbagai penyakit kecuali maut. Sabda Nabi ini terkandung di dalam Kitab Hadith susunan Bukhari.

Justeru itu pengambilan bijian ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi mengawal penyakit manusia tetapi juga sebagai satu amalan sunnah yang ganjaran pahalanya adalah besar.


Kandungan Zat Nigella sativa

Ekstrak daripada minyak Nigella sativa ini didapati berkesan terhadap masalah kesihatan dan ianya sentiasa dicampurkan ke dalam adunan ubat moden untuk menghindari penyakit (Lihat Lampiran 1). Bahan aktif yang terkandung dalam minyak ini ialah sejenis alkaloid ‘nigellone’ yang pertama kali berjaya diasingkan pada tahun 1959.

Setiap 100g bijian Nigella sativa mengandungi 38g lemak jenis minyak dan 21g protein. Sebahagian daripada kandungan minyaknya ialah jenis asid kemak yang belum dapat dikenal pasti. Kandungan terbanyak asid lemak ( 95.6% ) terdiri daripada asid linoleik, oleik , palmitik dan stearik. Lebih daripada 80% asid lemak tersebut terdiri daripada asid lemak tak tepu , yang memang baik untuk kesihatan manusia. Manakala proteinnya pula mengandungi 15 jenis asid amino dan sembilan daripadanya adalah asid amino perlu. Kandungan mineral dalam Nigella sativa ini adalah berada pada aras yang selamat untuk digunakan dan tidak terdapat mineral logam berat yang boleh membahayakan dan menjejaskan kesihatan.
Powered by Blogger.